Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, pemandu van Jabatan Penjara yang merupakan seorang anggota berusia 26 tahun hanya mengalami kecederaan pada muka dan tangan manakala lima lagi anggota dan tiga OKT tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori muatan satu tan, van dinaiki enam anggota Jabatan Penjara dan tiga OKT serta sebuah kereta dinaiki seorang pelajar Politeknik Merlimau.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lori tersebut yang dipandu seorang pekerja kimpalan lelaki berusia 44 tahun dari arah Merlimau menghala ke Muar dikatakan bertembung dengan van terbabit yang datang dari arah Sungai Udang menghala ke Muar sebaik sahaja tiba di persimpangan AMJ.

"Berikutan pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas dan melanggar kereta dinaiki pelajar terbabit yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dari arah Jasin,' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arshad, pemandu lori yang mengalami kecederaan di kaki dan pemandu van Jabatan Penjara dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan manakala pelajar politeknik dan yang lain tidak mengalami kecederaan.

Kes ini disiasat mengikut Rule 9 LN 166/59, katanya. - UTUSAN ONLINE