Difahamkan balu anggota Daesh itu, Nor Mahmudah Ahmad, 31, bersama seorang anaknya dan 39 rakyat Malaysia yang lain kini berada dalam kem tahanan di Syria.

Dilaporkan kesemua mangsa sudah memohon untuk diselamatkan serta dibawa keluar dari Syria, yang mana difahamkan berada dalam tiga kem tahanan di lokasi berasingan iaitu Penjara Al Hasakah, Kem Pelarian Al Hol dan Idlib.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, usaha membawa pulang Nor Mahmudah, anaknya dan 30 rakyat Malaysia yang terbabit dengan aktiviti Daesh di Syria sedang berjalan dengan bantuan ejen perisikan asing.

“Usaha itu berdepan sedikit masalah untuk melepasi beberapa kawasan di Syria yang kini dikawal pihak berkuasa Syria, Syrian Democratic Forces yang disokong Amerika Syarikat dan kawasan dikawal Daesh (termasuk pemberontak Kurdish).

“Kita berdepan masalah di situ. Namun pada masa sama, kita juga aktif berhubung dengan pihak Red Cross di Syria untuk mengatur membawa pulang rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar, ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya tidak pernah henti berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang meminta bantuan untuk pulang ke negara ini.

“Kita mesti bawa mereka balik kerana itu adalah rakyat kita. Apabila mereka sudah pulang nanti, kita akan pertimbangkan tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka.

“Ini bukan saja membabitkan Nor Mahmudah, malah wanita lain yang dikatakan isteri pejuang Daesh yang kita dapat tahu dijadikan tahanan oleh pihak tertentu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE