Ulat tiket berkenaan dikatakan bergerak dalam bentuk kumpulan dan meminta komisyen antara RM12 hingga RM18 bagi sekeping tiket sejak dua tahun lalu daripada pengusaha syarikat bas.

Bagi syarikat bas yang enggan membayar komisyen berkenaan, ulat tiket berkenaan didakwa akan menghalang penumpang daripada membeli tiket daripada syarikat bas tersebut.

Wakil daripada syarikat bas yang beroperasi di Terminal Bas Sungai Nibong, Edward Lim berkata, pengusaha-pengusaha bas ekspres kini dihimpit masalah kewangan disebabkan aktiviti ulat tiket berkenaan.

Menurut Edward ejak awal bulan ini pengusaha syarikat bas ekspres hanya mampu membayar komisyen kepada ulat tiket sekitar RM7 sahaja disebabkan ekonomi merosot.

“Bagaimanapun mereka tetap menuntut kami bayar komisyen hingga RM12 untuk satu tiket dan jika kami enggan bayar penumpang akan dihalang untuk membeli tiket di kaunter kami.

“Kalau keadaan ini berterusan kami sepakat untuk mengambil penumpang di luar terminal bas sahaja mulai esok,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE