Malah, bot nelayan berkenaan juga sanggup menunda dalam keadaan gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan di kedudukan kira-kira dua batu nautika dari Barat Pulau Rimau.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, hasil pemeriksaan, seorang tekong berumur 34 tahun bersama dua awak-awak tempatan berumur 26 dan 32 tahun berada di atas bot tersebut.

Katanya, mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari daratan terdekat.

“Bot berkenaan bersama satu gulung pukat tunda, dua buah besi tunda dan hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram ikan campur dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hamizan, tindakan bot nelayan berkenaan bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mengundang kemalangan di laut kerana tidak menyalakan lampu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim negeri ini bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang.

 

Katanya, ia terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

“Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. - UTUSAN ONLINE