Kesemua suspek ditahan susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya ditipu seorang lelaki yang juga seorang 'ah long' pada 5 September lalu.

Difahamkan, wanita tersebut yang bekerja sebagai jurujual mengenali suspek di laman sosial Facebook sebelum berjumpa dengannya untuk mendapatkan wang pinjaman berjumlah RM1,000 di Sentul, di sini.

Mangsa kemudian telah diarahkan untuk membuka akaun bank dan menyerahkannya kepada suspek bertujuan untuk memudahkan potongan bayaran balik pinjaman.

Selepas pinjaman tersebut selesai, mangsa telah dimaklumkan pihak bank bahawa akaun miliknya disekat ekoran terdapat transaksi kemasukan wang hasil penipuan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, tujuan suspek meminta akaun mangsa sebenarnya dipercayai bertujuan untuk aktiviti penipuan seperti Macau Scam.

"Hasil risikan, satu serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Jinjang, Bandar Baru Sri Petaling dan Taman Sri Indah.

"Selain tujuh suspek yang ditahan, kita turut merampas 72 keping kad bank dan 58 keping kad sim pelbagai talian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Roslan Bek, semakan awal mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dengan 11 kes penipuan manakala ketua sindiket mempunyai satu kes jenayah lampau berkaitan dadah.

Tambahnya, jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM299,570 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE