Tudung 'ciplak' tersebut dijual secara pukal menerusi syarikat pembekal yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara dan cawangannya di Alor Setar, Kedah.

Bagaimanapun, operasi syarikat pembekal tersebut dipatahkan menerusi serbuan serentak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di dua negeri itu pada pukul 12 tengah hari semalam selepas pihak syarikat Bawal Exclusive Sdn. Bhd. menerima maklumat mengenai penjualan tudung 'ciplak' jenama mereka pada 30 Ogos lalu.

Hasilnya, sebanyak 4,901 tudung Bawal Exclusive 'ciplak' bernilai lebih RM73,000 berjaya dirampas.

Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Mysuri berkata, aktiviti meniru rekaan tudung eksklusif bertatahkan batu kristal Swarovski itu telah lama berlaku namun pihaknya belum pernah mengambil sebarang tindakan undang-undang.

"Bagaimanapun, kali ini syarikat pembekal itu sudah melampau kerana bukan sahaja meniru rekaan corak tudung malah turut meniru logo dan label Bawal Exclusive.

"Lebih menyedihkan, terdapat rekaan tudung kami yang ditiru dan dijual dengan harga pukal iaitu RM45 untuk 10 helai tudung sekali gus menjejaskan jenama kami," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Haliza menjelaskan, pelanggan boleh mendapatkan tudung eksklusif tersebut melalui pembekal sah setiap negeri dengan melayari laman web www.bawal.com.my.

"Tudung kami bukan semuanya berharga ratusan atau puluhan ribu ringgit kerana kami turut mengeluarkan rekaan tudung mampu milik berharga serendah RM57 sehelai namun tetap berkualiti tinggi.

"Tudung yang tulen didatangkan dengan corak batu kristal Swarovski dan mempunyai tiga label termasuk label Swarovski. Oleh itu, pelanggan tidak seharusnya tertipu dengan keluaran tudung 'ciplak' ini," ujarnya.

Sementara itu, peguam syarikat, Ahmad Hafiz Zubir memaklumkan, KPDNHEP telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana memasarkan barangan dengan cap dagangan tiruan.

Sebelum ini, jenama Bawal Exclusive tular selepas menghasilkan sehelai tudung bertatahkan batu Swarovski berharga RM50,000 yang turut diperkatakan sebagai tudung termahal di dunia. - UTUSAN ONLINE