Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, penahanan lelaki terbabit dilakukan oleh pasukan polis pada pukul 11 pagi tadi bertempat di sebuah kediaman di Sungai Penchala, Petaling Jaya, Selangor.

“Suspek akan dibawa ke Kuala Terengganu dalam masa terdekat dan akan didakwa di mahkamah pada Ahad depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Said Ibrahim kepada Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Superintenden Mohd. Rawi Abd. Ghani.

Disember 2016, akhbar melaporkan YBNT menafikan telah menipu seramai 2,418 peserta yang kebanyakannya adalah guru, untuk mengikuti program umrah anjuran yayasan tersebut.

Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Adam Mohd. Ghazali mendakwa, punca penangguhan dan pindaan tarikh penerbangan ke tanah suci itu disebabkan pihaknya lewat menerima sumbangan di bawah tanggungjawab sosial korporat daripada beberapa syarikat korporat.

Menurutnya, daripada keseluruhan peserta, seramai 1,218 orang ditaja sepenuhnya YBNT, baki 1,200 orang lagi hanya perlu membayar sebahagian atau kurang daripada kos sebenar, sementara selebihnya ditaja yayasan tersebut.

“Empat kategori bayaran dikenakan iaitu ada yang perlu bayar RM500, RM2,000, RM2,500 dan paling tinggi RM3,000, bergantung kepada taraf hidup serta pekerjaan peserta. Kebanyakan yang perlu membayar RM3,000 terdiri daripada guru, pegawai kerajaan atau ahli keluarga mereka,” katanya

Menurut Aidi, Polis Terengganu membuka kertas siasatan sebanyak 66 kes melibatkan lebih daripada 300 mangsa penipuan oleh YBNT.

“Suspek telah menyalahgunakan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dengan pergi ke sekolah-sekolah dan mempengaruhi guru-guru untuk membayar sejumlah wang bagi menunaikan umrah sedangkan pakej umrah tersebut tidak dilaksanakan,” jelasnya.

Ramai yang terpengaruh dengan tawaran pakej serendah RM3,000 dengan menyangkakan dapat berjimat RM1,900 tetapi akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM3,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE