RAZARUDIN HUSAIN
RAZARUDIN HUSAIN 

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tindakan tegas termasuk ditukarkan keluar dari negeri ini akan diambil sekiranya mereka bersikap tidak ambil peduli tentang kegiatan haram itu meskipun serbuan telah dijalankan di daerah masing-masing oleh pihak Bukit Aman mahupun Kontinjen Perak.

Katanya, amaran itu jelas membuktikan komitmen Polis Perak dalam membanteras habis-habisan kegiatan perjudian haram di semua daerah di negeri ini.

“Apabila saya memangku sahaja jawatan Ketua Polis Perak, saya telah menentukan bahawa tiada lagi mesin-mesin judi online atau aktiviti perjudian yang diaturkan oleh sindiket berlaku di daerah-daerah di negeri ini.

“Sekiranya perkara itu berlaku, kita perlu mengambil tindakan segera bagi menghentikannya.

“Oleh itu, saya telah memberi amaran kepada KPD dan KPB, jika tempat mereka diserbu oleh Bukit Aman dan IPK (Kontinjen Perak) dan mereka buat tidak tahu, saya tidak teragak-agak menukarkan mereka termasuk mencadangkan KPD agar ditukarkan keluar dari Perak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Razarudin berkata demikian ketika mengulas mengenai arahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar semua Ketua Polis Negeri dan KPD memastikan kegiatan judi haram di kawasan mereka dihapuskan secara total.

Abdul Hamid juga dilaporkan berkata, semua tauke judi haram di setiap daerah di seluruh negara yang masih bermaharajalela menjalankan kegiatan itu diberi amaran kes untuk berhenti atau berdepan tindakan ditangkap. - UTUSAN ONLINE