Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tindakan itu termasuk merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“Penglibatan warga PDRM dalam sindiket ini perlu dielakkan dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati terlibat dengan kegiatan berkenaan.

“Kita tidak mahu apabila berlakunya kes-kes begini, ada anggota atau pegawai kita yang terlibat. Jika didapati terlibat, saya tanpa ragu-ragu akan mengambil tindakan dan mencadangkan kepada Bukit Aman untuk diambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Razarudin memberitahu, kes penyeludupan migran di negeri ini tidak begitu serius namun pemantauan berterusan akan dilakukan dalam memastikan kes seumpama itu tidak terus berleluasa.

“Keadaan keselamatan di Perak dalam keadaan terkawal dan aman namun beberapa kes penyeludupan manusia yang melibatkan warga asing tidak seharusnya diambil mudah.

“Justeru itu katanya, kawalan keselamatan di sempadan negara dan Thailand harus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti penyeludupan manusia daripada terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, indeks jenayah sejak Januari hingga bulan lalu menunjukkan penurunan sebanyak 76 kes iaitu 2,464 kes pada tahun ini berbanding 2,540 kes tahun lalu.

Bagi tempoh sama katanya, jumlah jenayah harta benda juga menunjukkan penurunan sebanyak 155 kes iaitu 1,912 kes pada tahun ini berbanding 2,067 kes bagi tahun sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, kes jenayah kekerasan menunjukkan peningkatan sebanyak 79 kes daripada 552 kes tahun ini berbanding 473 kes tahun lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE