Ketiga-tiga suspek yang bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai berusia antara 26 dan 35 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi oleh sekumpulan 12 lelaki ketika berada di tempat letak motosikal di luar kompleks sukan tersebut.

Kejadian dikatakan berpunca daripada Farhash yang tiba-tiba menolak muka mangsa apabila terserempak dengan mangsa di dalam kompleks sukan sebelum tercetusnya rusuhan.

Ekoran kejadian, mangsa mengalami kecederaan di pinggang, luka di anggota badan dan sakit pada bahagian kemaluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ketiga-tiga suspek ditahan selepas menyerah diri di IPD Ampang Jaya pada pukul 11.40 pagi.

“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki oleh IPD Cheras berkaitan kes dadah.

“Selain itu, Farhash yang merupakan suspek utama masih gagal dikesan dan diminta segera tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE