Difahamkan, kesemua GRO tersebut dipercayai bekerja sebagai tukang urut dan menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran serendah RM60 hingga RM80 bagi setiap sesi.

Serbuan kira-kira pukul 11.45 malam tersebut telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua wanita yang ditahan merupakan warga Vietnam(25) dan Indonesia (9) berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun.

"Kita turut menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis di ketiga-tiga lokasi membabitkan dua di Jalan Tun Razak dan satu di Jalan Pudu.

"Kesemua premis yang diserbu juga didapati tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan selain menggunakan wanita warga asing tanpa permit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rohaimi, kesemua 29 individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut manakala empat penjaga premis berkenaan akan direman hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 kanun yang sama, Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta yang sama dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963. - UTUSAN ONLINE