Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ketika memasuki negara ini pada pukul 11.55 pagi.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 50 tahun yang juga bekerja sebagai penambang motosikal itu dikenal pasti oleh polis yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Mereka memasuki negara ini menggunakan pasport perjalanan yang sah dan setelah dikenal pasti, tangkapan telah dilakukan bersangkut dengan dua laporan yang diterima sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

TIGA lelaki warganegara Thailand yang berjaya ditahan polis kerana menutup pintu pagar sempadan Mala

TIGA lelaki warganegara Thailand yang berjaya ditahan polis kerana menutup pintu pagar sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah. - UTUSAN ONLINE

Ahad lalu, sekumpulan rakyat Thailand yang tidak berpuas hati terhadap operasi jalan raya dilakukan pihak berkuasa Malaysia bertindak menutup pintu sempadan sehingga menimbulkan kekecohan kerana orang ramai tidak dapat meneruskan perjalanan.

Kejadian pada pukul 11.20 pagi itu kembali tenang selepas pihak berkuasa Malaysia mengarahkan kumpulan terbabit membuka semula pintu yang terletak selepas ICQS BUkit Kayu Hitam itu, kira-kira 15 minit kemudian.

Tambah Mior Faridalatrash, ketiga-tiga suspek terbabit direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 507 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

Ujar beliau, berdasarkan siasatan, punca insiden terbabit disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak polis di ICQS ke atas penambang bermotosikal.

“Malah, mereka juga didapati menggunakan dokumen perjalanan iaitu passport Thailand dengan hanya mengecop masuk ke Malaysia sekali sahaja tetapi berulang-alik perjalanan tanpa mengemaskini cop keluar Malaysia.

“Tindakan mengarahkan mereka supaya berhenti daripada melakukan perbuatan itu menyebabkan mereka tidak berpuas hati lalu membuat bantahan dengan cara menutup pintu pagar sempadan milik Malaysia selain suspek disyaki turut membuat kata-kata berbaur tohmahan dan ugutan ke atas anggota polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE