Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, dua daripada tiga pekerja tersebut turut dilarikan bersama van berkenaan sebelum ditinggalkan lebih satu kilometer dari tempat kejadian.

Menurut sumber, suspek berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM105,000 dari van berkenaan manakala sejumlah lagi yang berada dalam peti besi gagal dilarikan.

“Ketika kejadian, tiga pekerja tersebut baharu sahaja menguruskan mesin juruwang automatik (ATM) yang terdapat di dalam stesen minyak berkenaan.

“Sebaik sahaja mereka keluar dari premis tersebut, sekumpulan tiga lelaki menaiki sebuah motosikal dan sebuah kereta menyerang mereka dengan memaksa pemandu van itu keluar dan melarikan dua lagi rakan setugasnya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ujar sumber, suspek kemudian bertindak memberhentikan van berkenaan lebih satu kilometer dari tempat kejadian sebelum merampas beg berisi wang tunai serta senapang angin milik pekerja syarikat keselamatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan di tempat kejadian.- UTUSAN ONLINE