Hakim P. Ravinthran menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu lori, Faisal, 23, dan pembuat perabot, Ali Misron, 37, kedua-duanya dari Indonesia, dan pengimpal, Nor Azmi Zahyi, 49, dari Selangor, yang mengaku bersalah menaruh niat untuk ke Filipina dari Malaysia bagi melaksanakan tujuan itu.

Mereka diperintah menjalani hukuman itu dari tarikh mereka ditangkap.

Faisal dan Nor Azmi ditangkap di hadapan sebuah kedai di Jalan 3, Pusat Bandar Sandakan kira-kira pukul 12.20 tengah hari, 15 Jun tahun lepas sementara Ali Misron ditangkap di Lapangan Terbang Sandakan kira-kira pukul 6.15 petang hari yang sama.

Menurut fakta kes, mereka telah berhubungan menerusi Facebook Messenger untuk bertemu di Masjid Jamek di Sandakan pada hari berkenaan dan merancang ke Tawi-Tawi, Filipina dan kemudian ke Marawi City untuk me­nyertai pemberontakan bersenjata.

Mereka didakwa meng­ikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda, jika didapati bersalah.

Pada 13 Februari lalu, ke­dua-dua lelaki Indonesia itu mengaku bersalah, tetapi Nor Azmi minta dibicarakan yang ditetapkan pada 9 hingga 13 Julai ini.

Bagaimanapun, Nor Azmi yang tidak diwakili peguam mengubah fikiran dan me­ngaku bersalah hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, sementara pe­­­gu­am Farazwin Haxdy, yang dilantik oleh Konsul Besar Indonesia di sini mewakili Faisal dan Ali Misron.

Ravinthran juga menja­tuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Ali Misron selepas dia mengaku bersalah terhadap satu lagi tuduhan menyimpan item dalam te­lefon bimbit, yang mengan­dungi unsur-unsur pengganas dan berkait dengan kumpulan Daesh.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan juga boleh dirampas telefon bimbitnya, bila didapati bersalah.

Ravinthran memerintahkan hukuman penjara berjalan berturut-turut. – BERNAMA