Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, kesemua suspek ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna kelabu yang diletakkan di kawasan letak kenderan di Restoran McDonald, Jalan Tambun, Sunway City di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, hasil pemeriksaan menemukan dadah berkenaan diletakkan berdekatan dengan brek tangan kenderaan tersebut.

“Suspek pertama adalah lelaki berusia 48 tahun yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah sementara suspek kedua ialah seorang suami berusia 44 tahun.

“Lelaki tersebut bukan sahaja positif dadah jenis morphine tetapi juga mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah serta satu kes masing-masing di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357),” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata, suspek ketiga dan keempat masing-masing adalah isteri dan anak perempuan kepada suspek kedua, yang berusia 47 dan 13 tahun tetapi mereka tidak memiliki sebarang rekod jenayah serta negatif dadah.

Menurut beliau, gadis berkenaan bersekolah di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Pulau Pinang.

“Hasil soal siasat mendapati suspek pertama merupakan kawan kepada tiga beranak tersebut.

“Ekoran penangkapan itu, tiga suspek direman selama lima hari sementara gadis tersebut direman selama empat hari,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE