Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga beradik lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 53 tahun itu berjumpa dengan seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai JPJ.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya memaklumkan kira-kira 90 buah kenderaan pelbagai jenis bakal dilelong bulan ini oleh pihak JPJ dan dia merupakan pegawai yang menguruskan kereta lelong tersebut.

“Mangsa bertambah yakin dengan suspek apabila mangsa diberikan beberapa dokumen serta gambar yang melibatkan kenderaan yang bakal dilelong,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa kemudiannya bersetuju untuk mengambil 67 buah kereta daripada keseluruhan kenderaan yang dilelong dengan pelbagai tawaran harga.

“Mangsa kemudiannya digesa untuk melakukan pembayaran bagi tujuan tempahan segera sebelum proses lelongan dijalankan.

“Akibat terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah melakukan sembilan transaksi bermula 23 Jun sehingga 25 Jun lalu yang mana jumlah keseluruhan transaksi wang sebanyak RM27,300,” katanya.

Beliau berkata, suspek berjanji segala proses untuk mendapatkan kenderaan tersebut akan selesai pada 27 Jun namun hingga kini tiada maklum balas yang diberikan.

“Suspek tersebut kini gagal dihubungi dan mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE