Timbalan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sehubungan itu, pihak berkuasa akan terus mendapatkan bukti untuk mengesahkan pernikahan tersebut telah berlangsung di Golok, Thailand seperti didakwa.

“Ibu bapa kanak-kanak itu me­ngatakan walaupun anaknya berkahwin pada usia 11 tahun te­tapi hanya akan hidup bersama dengan suaminya selepas lima tahun, iaitu apabila berumur 16 tahun.

“Bagaimanapun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan te­tap melakukan pemeriksaan kesihatan mental dan fizikal ke atas kanak-kanak perempuan itu termasuk meneliti elemen antun (sexual grooming) yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam majlis ramah mesra Kementerian Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat bersama kumpulan sasar di sini hari ini.

Kisah perkahwinan kanak-kanak perempuan berkenaan de­ngan seorang lelaki berusia 41 tahun itu telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak ditularkan Jumaat lalu.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, undang-undang Malaysia tidak akan membenarkan perkahwinan tersebut meskipun kanak-kanak perempuan itu bukan warga negara Malaysia.

Jelasnya, keputusan itu me­ngambil kira lokasi perkahwinan itu dilakukan iaitu jika berlaku di Kelantan, bermakna ia terletak di bawah bidang kuasa undang-undang negara ini.

Beliau memberitahu, kerajaan amat komited dalam membanteras isu perkahwinan kanak-kanak itu dan juga pada masa depan.

Berhubung cadangan untuk menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, katanya, perkara itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibawa ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam pada itu, Wan Azizah menyeru kepada semua pihak khususnya pengamal media dan netizen agar memberi ruang kepada keluarga yang terlibat agar tidak menyebarkan gambar dan maklumat peribadi mereka supaya tidak menjejaskan siasatan yang sedang berlangsung.