Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, orang ramai tidak mengadakan perhimpunan yang dijadual berlangsung pukul 2 petang ini.

“Kami berterima kasih kepada orang ramai yang tidak datang dan mematuhi arahan polis.

“Bagaimanapun, jika ada pihak yang tetap berdegil untuk berhimpun kita akan ambil tindakan tegas,” katanya selepas melakukan pemantauan di Little India di sini hari ini.

Tambah Mazlan, setakat ini, jalan menuju ke lokasi tersebut masih ditutup atas faktor keselamatan.

“Polis akan membuat penilaian sebelum membuka laluan di kawasan ini dan bilangan anggota yang berkawal di kawasan ini mengcukupi,” tegasnya.

Semalam, Mazlan memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menghadiri Bantah Tulisan Khat Sekolah Tamil’ dan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Race’ di Little India, Brickfields.