Dakwaan itu dikatakan berpunca daripada ‘gurauan’ seorang remaja berusia 13 tahun yang memberitahu rakannya bahawa seorang lelaki bertopeng telah keluar dari sebuah van berwarna putih dan bercermin gelap yang cuba untuk menariknya masuk ke dalam kenderaan itu ketika dia sedang menunggang basikal di kawasan tersebut kira-kira pukul 7.30 petang.

Ekoran daripada itu, satu laporan polis berhubung cubaan culik telah dibuat di Balai Polis Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima laporan dibuat remaja itu yang mendakwa dirinya diculik bagaimanapun siasatan yang dibuat mendapati kejadian itu tidak wujud.

“Kita telah mengambil keterangan pelajar tersebut, dia memberitahu bahawa dia hanya bergurau dengan rakan sekolah tanpa menyedari bahawa gurauan itu ditularkan. Apa yang diceritakannya kepada rakannya menggambarkan seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku.

“Dalam hal ini orang ramai dan masyarakat setempat tidak perlu membuat laporan palsu semata-mata untuk mengelak kejadian sebenar atau mahu menutup kesalahan masing- masing. Walaupun ditular kejadian itu belum tentu kesahihannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali ke atas laporan palsu yang dibuat itu.

Katanya, tindakan menyebarkan berita yang tidak sahih itu akan meresahkan masyarakat dan boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

“Jangan buat laporan polis sewenang-wenangnya, selidik dahulu dakwaan yang dibuat kerana membuat laporan palsu adalah satu kesalahan yang boleh didakwa serta menyusahkan banyak pihak khususnya polis jika perkara itu tidak benar.

“Orang ramai pula jangan terlalu cepat untuk menularkan sesuatu perkara tanpa mendapat kepastian daripada pihak polis kerana ini juga satu kesalahan. - UTUSAN ONLINE