Tertuduh, Qairul Redza Mohd. Hadzri, 35 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan wang tunai berjumlah RM1,500 daripada Gilbert Juin Anak Danu, 37, sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap sebuah rumah urut di Platinum Walk, Setapak Kuala Lumpur.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Ampang Point, Taman Dato Razali, Ampang kira-kira pukul 10 malam pada 28 Mei tahun lalu.

Qairul Redza yang juga pembantu tadbir di Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja Unit Penyelenggaraan, DBKL didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam mewakili Qairul Redza, Mohd. Firdaus Ahmad memohon mahkamah mengurangkan wang jamin tersebut serta meminta mahkamah membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berikutan tertuduh turut menghadapi lima pertuduhan di sana.

Rozilah kemudiannya membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan jaminan RM5,000 ke atas Qairul Redza dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 April hadapan. -UTUSAN ONLINE