Bagi peserta perhimpunan itu dan juga rata-rata warganet, suspek, seorang lelaki warga emas yang kini dibebaskan dengan jaminan polis perlu dihadapkan segera ke muka pengadilan berhubung penyebaran kartun jelik menghina nabi.

Jelas, kes seperti ini cukup pantas membangkitkan sentimen dan sebab itu ia dikelaskan sebagai menyentuh sensitiviti selain mudah dikeruhkan pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam era media sosial.

Bagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pada peringkat sekarang penting untuk pihak berkuasa dan Jabatan Peguam Negara menunjukkan kepada rakyat yang tiada siapa dilindungi daripada proses pengadilan.

Katanya, ini perlu kerana kes-kes menghina agama atau kaum akan membangkitkan rasa tidak puas hati masyarakat sekali gus boleh menyebabkan kemudaratan kepada keamanan negara jika tidak ditangani dengan tegas.

“Maka pendakwaan kes-kes sensitif kena segera ditangani selain menunjukkan kita tidak melindungi sesiapa (dalam setiap tindakan pihak berkuasa),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahad lalu, kira-kira 500 orang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sehingga memaksa polis menutup Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab hampir sejam bagi mengelakkan sebarang insiden berlaku.

Sehari sebelumnya di Pulau Pinang, lebih 100 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan IPD Timur Laut juga bagi mendesak lelaki yang menghina Nabi Muhammad dalam Facebook ditahan semula dan didakwa dengan segera.

Mengenai dua perhimpunan itu bagi membantah suspek dibebaskan dengan jaminan polis, kata Musa, dalam soal pendakwaan keputusan di tangan Jabatan Peguam Negara kerana polis perlu merujuk jabatan itu.

“Pihak polis menyiasat, mengambil reman. Habis tempoh reman (oleh mahkamah) suspek perlu dibebaskan dengan jaminan polis. Kena faham, polis tak ada kuasa nak buat pertuduhan di mahkamah tanpa diserahkan pada Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, beliau bersetuju sekiranya Jabatan Peguam Negara membuat penjelasan kepada rakyat berhubung status tindakan mereka dalam kes ini.

Katanya, memang tidak dinafikan keresahan ketika ini berhubung kes warga emas ditahan di Mentakab yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis akibat tiada penjelasan apa sebenarnya berlaku dalam kes ini.

“Hari ini pun ada pertuduhan kes menghina nabi di Shah Alam dibuat tetapi kes lain. Dari segi prosedur, polis terikat.

Tapi tak semua orang tahu proses sebelum pertuduhan. Maka rakyat perlu dijelaskan di mana kedudukan kes tersebut, apakah siasatan polis diserahkan balik untuk dilengkapkan atau menanti hari untuk suspek didakwa,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE