Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu, suspek dipercayai membuka pintu sebuah kereta yang diletakkan di kawasan masjid berkenaan lalu melarikan sebuah telefon bimbit jenama Asus.

Kejadian kes pecah kenderaan itu kini tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masjid itu memaparkan wajah suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 melarikan diri selepas melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian disedari mangsa sebaik sahaja dia selesai solat Zohor di masjid berkenaan.

“Semakan nombor pendaftaran motosikal suspek mendapati ia didaftarkan di Felda Kechau Satu, Padang Tengku, Pahang.

“Pemilik motosikal berkenaan kemudiannya memaklumkan motosikal berkenaan digunakan oleh anaknya yang mungkin berada di kawasan Tasek Gelugor atau Padang Serai, Kedah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau suspek berusia 39 tahun itu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Pihak polis masih berusaha mengesan lokasi suspek berada dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE