Suspek yang berusia 46 tahun dari Kampung Chabang Tiga itu ditahan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 11.30 malam selepas mereka curiga melihat motosikal jenis Yamaha Ego Solariz itu berada di situ sejak pagi.

Keadaan itu sekali gus mendorong mereka berkumpul pada pukul 10.30 malam bagi menunggu suspek mengambil kembali kenderaan curi tersebut.

Terdahulu, suspek dikatakan menunggang motosikal itu sejauh 20 kilometer ke arah Setiu sebelum meninggalkannya di tepi jalan di Kampung Gemuruh kerana kehabisan petrol.

Kisah kehilangan motosikal di sebuah pasar raya di bandar raya ini kelmarin ditularkan pemiliknya di media sosial.

Kejadian itu turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Suffian Sulaiman mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE