Dalam kejadian pukul 7.40 malam itu, seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan oleh pengawal keselamatan di kawasan meletakkan kenderaan kerana kelihatan mencurigakan menolak kereta sorong bayi secara tergesa-gesa ke arah keretanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, lelaki itu gagal mengemukakan resit bukti pembelian barangan suplemen kesihatan tersebut.

"Pengawal keselamatan telah membuat pemeriksaan dalam bonet kereta jenis Proton Perdana dan menjumpai barang-barang yang dicuri.

"Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian jelas menunjukkan perbuatan lelaki tersebut bersama-sama isterinya mencuri barang tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, lelaki tersebut ditahan di kawasan meletakkan kenderaan ketika cuba melarikan manakala isterinya yang berusia 49 tahun ditahan di laluan keluar pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat awal, pasangan suami isteri itu mengaku mencuri kesemua barangan tersebut dan ini bukan pertama kali mereka mencuri dalam kedai berkenaan.

"Alasan mereka berbuat demikian adalah kerana tidak mempunyai kerja. Barang yang dicuri itu akan dijualkan semula untuk mendapatkan wang," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE