KEADAAN mayat bayi dipercayai baru dilahirkan yang ditemukan di sebuah pangsapuri di Bukit Serdang, Selangor hari ini.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an yang juga pekerja kilang di Bukit Serdang itu ditahan di pangsapuri sama kira-kira pukul 8 malam pada 28 Ogos lalu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian mendapati suspek dilihat membawa bungkusan dipercayai bayi tersebut sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Malah, suspek wanita turut mengaku telah melahirkan bayi itu sebelum mereka membunuhnya dengan menggunakan kain diikat pada kepala untuk menutup muka bayi terbabit.

Ketua Polis Daerah Serdang. Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, bedah siasat dilakukan terhadap bayi berkenaan di Hospital Serdang mendapati punca kematiannya adalah lemas disebabkan dicekup dengan objek.

“Susulan itu, siasatan itu ditukar daripada Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mereka kini disambung reman enam hari sehingga Isnin depan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

27 Ogos lalu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang dibungkus dengan kain berwarna hitam serta masih bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemukan orang awam kira-kira pukul 4.30 pagi.- UTUSAN ONLINE