Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, ini memandangkan SPRM mempunyai kekangan dalam akta sedia ada dalam memastikan undang-undang yang cukup menyokong siasatan yang dijalankan.

“Beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah ketika ini seperti SRC International dan kes dikaitkan dengan bekas timbalan perdana menteri adalah contoh jelas mengapa negara perlu undang-undang pemunya benifisiari yang kukuh.

“Bagi Malaysia, memiliki undang-undang pemunya benifisiari yang kuat bukan satu pilihan,” katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di sini hari ini.

Dalam pada itu Latheefa memberitahu, pihaknya mempunyai undang-undang di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), Akta Syarikat 2016.

“Tetapi sama ada undang-undang tersebut mencukupi atau tidak memerlukan rujukan tambahan sebelum dipinda.

“Selain itu, kita juga akan mengkaji undang-undang yang diguna pakai oleh beberapa buah negara memandangkan cara mereka mengambil tindakan itu mungkin berbeza. Jadi, kita jadikan bengkel ini sebagai platform untuk membanding dan menilai undang-undang yang sesuai untuk digunakan di negara ini,” jelasnya.

Awal tahun ini, kerajaan memutuskan untuk memasukkan peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata langkah itu bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar kepentingan dalam sesuatu proses siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM atas kesalahan sogokan.-UTUSAN ONLINE