Itu antara taktik yang digunakan seorang lelaki warga asing apabila kegiatannya berjaya dikesan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM).

Kegiatan yang dilakukan suspek berusia 23 tahun terbongkar selepas dia ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Hasil serbuan tersebut, sebanyak 800 liter petrol yang diletakkan di dalam 32 tong di mana setiap satu mengandungi 25 liter ditemukan di dalam hutan bakau berkenaan.

Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah bot yang digunakan untuk menyeludup keluar petrol tersebut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,164.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek dan bot yang ditahan telah dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM, Semporna untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau penjara.

“Kejayaan serbuan ini adalah hasil pemantauan dan risikan berterusan PPM dan siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan petrol sedikit demi sedikit di pekan Semporna sebelum dikumpul di hutan yang sukar dilalui atau dilihat pasukan keselamatan termasuk orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tambah Mohamad Pajeri, walaupun pelbagai taktik dan modus operandi digunakan penyeludup, namun ia tidak menghalang PPM mengesan serta mengekang aktiviti menyalahi undang-undang ini.-UTUSAN ONLINE