Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, tindakan sita akan dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu.

Katanya, pihak polis turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memantau aktiviti mengubahsuai motosikal.

“Dulu motosikal yang popular untuk ubah suai adalah Honda EX5 dan sekarang Ysuku. Ini bahaya kerana mereka ubah suai kelajuan melebihi kemampuan motosikal.

“Trend ini dalam pemerhatian pihak polis walhal motosikal itu (Ysuku) memang laju. Kenapa perlu dipertingkat lagi kelajuannya? Ini akan datangkan musibah,” katanya kepada pemberita selepas Op Khas Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Duta di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, sebanyak 1,384 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan dalam operasi bermula Selasa sehingga malam ini.

Jelasnya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 18 pemandu berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan kerana didapti positif dadah.

“Kita memandang serius terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang didapati membawa kenderaan tersebut dalam pengaruh dadah,” katanya.- UTUSAN ONLINE