Syed Husain Al-Shahab

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shabab yang memberitahu beliau sendiri pernah didekati oleh seorang ejen yang menawarkan gelaran ‘Datuk’ kepadanya dengan bayaran RM25,000.

Katanya, ejen berkenaan juga menjanjikan insentif kepada beliau sekiranya dapat membawa beberapa lagi individu yang berminat untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk’ tersebut.

“Saya ditawarkan kira-kira dua tahun lalu, ejen tersebut mendakwa saya boleh dapat gelaran ‘Datuk’ dari Indonesia, dan akan beri insentif kalau saya bawa bersama beberapa lagi rakan.

“Tetapi saya menolak tawaran itu kerana saya sedar bahawa gelaran itu tidak diiktiraf. Sebenarnya kegiatan ejen menawarkan gelaran ‘Datuk’ atau ‘Datuk Seri’ ini sudah lama, puluhan tahun dulu sudah ada dan saya percaya mereka ber­gerak se­bagai sebuah sindiket yang terancang,” kata­nya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Syed Husain mendakwa tidak kurang 100 individu dalam kalangan presiden dan timbalan pre­siden NGO bertaraf ‘ayahanda’ di seluruh negara mengguna pakai gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf.

Menurutnya, ada dalam kalangan pemimpin NGO tersebut merupakan bekas-bekas polis, tentera, ahli politik dan penjawat awam.

Utusan Malaysia dalam siri laporan eksklusif baru-baru ini juga mendedahkan terdapat segelintir individu yang sanggup membayar RM40,000 hingga RM100,000 bagi memiliki darjah kebesaran dan pi­ngat palsu dari negara jiran.

Mengulas lanjut, Syed Husain memberitahu, beliau sendiri telah menasihati rakan-rakannya daripada pelbagai NGO supaya tidak ‘menerima’ gelaran tersebut.

“Bagaimanapun, apabila saya ber­kata begitu, mereka anggap saya iri hati sebab tiada duit untuk mendapatkan gelaran berkenaan. Mereka dengan tegas mengatakan pemberi gelaran itu merupakan sultan yang sah.

“Saya bukan mahu kata apa, tetapi apa yang saya lihat, apabila individu-individu ini menjadi pemimpin NGO, mereka rasa mahu dihormati sebagaimana pemimpin parti-parti politik. Oleh sebab itu, mereka mahukan gelaran-gelaran berkenaan,” jelas beliau.