Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Superintenden Mazelan Paijan berkata, suspek yang merangkumi dua wanita dan dua lelaki tempatan termasuk pasangan suami isteri, ditahan dalam tempoh empat hari bermula Isnin lepas.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada Isnin melibatkan pasangan suami isteri di Bukit Jelutong dan siasatan mendapati wanita berusia 30 tahun itu adalah dalang utama sindiket manakala suaminya, 31, membantu kegiatan tersebut.

Individu bergelar 'Datuk Wira' berumur 47 tahun itu pula ditahan pada Rabu di Puchong manakala suspek wanita berumur 30 tahun diberkas di Kajang sehari kemudian.

"Kedua-duanya bertindak sebagai 'orang kanan' sindiket," kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.

Mazelan berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Ogos 2015 dan berselindung di sebalik syarikat berdaftar milik dalang utama yang menjalankan perniagaan kosmetik dan jamu di Taman Melawati, dekat sini.

Katanya, kegiatan sindiket itu terbongkar susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa di Kajang yang sebelum ini bertindak sebagai ejen pengumpul dana daripada 40 mangsa.

"Kutipan wang itu kononnya untuk dilabur dalam projek tersebut. Mangsa bagaimanapun curiga apabila wang RM1.7 juta yang dikumpul dan diserahkan untuk pelaburan tidak memberi keuntungan seperti yang dijanjikan.

"Malah semakan dengan kementerian terlibat juga menunjukkan tiada kontrak seumpama dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata polis percaya mangsa sindiket itu melebihi 1,000 orang melibatkan penduduk luar bandar di negeri-negeri pantai timur dan Selangor termasuk mereka yang berpangkat 'Datuk'.

"Setakat ini, berdasarkan rekod yang disimpan suspek, jumlah kerugian mangsa dianggarkan kira-kira RM55 juta namun kita yakin masih ada pihak yang belum membuat laporan.

"Jadi kita anggap jumlah mangsa dan nilai kerugian akan meningkat apabila lebih ramai tampil mengemukakan bukti penipuan ini," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menyakinkan mangsa mereka mengalami kekangan modal untuk meneruskan projek selain menawarkan keuntungan antara 30 dan 50 peratus kepada pelabur.

Bagi menyokong penipuan itu, anggota sindiket menunjukkan dokumen penyerahan pakaian seragam tentera palsu yang kononnya diterima daripada Kementerian Pertahanan kepada mangsa, katanya.

Mazelan berkata, polis kini mengesan tujuh lagi individu berusia antara 28 dan 55 tahun berkaitan kes itu.

Selain itu polis turut merampas dua kereta mewah dan mengesan lapan lagi kenderaan yang dipercayai dibeli menggunakan duit hasil penipuan tersebut.

"Kita juga percaya sindiket ini ada membuat pembelian hartanah namun mereka menggunakan taktik guna nama saudara mara untuk berselindung daripada dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BERNAMA