Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan oleh 15 pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket berkenaan dikesan aktif menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu dan dipercayai mahir meminda biodata di muka hadapan pasport.

"Kita dapati sindiket hanya menyasarkan warga Bangladesh, Indonesia dan India dengan bayaran RM200 bagi setiap pasport yang dipalsukan.

"Lebih mengukuhkan dakwaan, kita menemukan perisian yang digunakan untuk meminda biodata muka hadapan pasport dan maklumat visa selepas memeriksa komputer riba yang dirampas daripada suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee memaklumkan, dalam serbuan berkenaan, pihaknya menemukan sebanyak 99 pasport pelbagai negara disyaki palsu yang dipercayai telah sedia untuk dihantar kepada pelanggan.

"Selain itu, sebanyak 11 keping i-Kad, lima buah telefon bimbit, komputer riba dan mesin pencetak serta wang tunai berjumlah RM53,000 dipercayai hasil urus niaga dokumen palsu turut dirampas.

"Kita juga menahan dua lelaki dan seorang wanita warga asing yang disyaki telah melanggar kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," jelasnya.

Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang melanggar akta dan peraturan yang ditetapkan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat kedaulatan negara diminta tampil menyalurkan maklumat," katanya. - UTUSAN ONLINE