Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang yang dilakukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman berserta Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu berjaya menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga China berusia di antara 20 hingga 40-an.

Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan orang tengah yang bertanggungjawab mencari lokasi untuk sindiket judi aplikasi WeChat, iaitu Paltform 168.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu dan mendapati sindiket tersebut menggunakan modus operandi dengan memanipulasi pelanggan.

Beliau berkata, sindiket akan menggunakan ahlinya sendiri untuk mendominasi permainan judi online bagi menarik perhatian pelanggan.

"Sindiket akan meletakkan kira-kira tiga individu dalam setiap permainan dan berpura-pura menang, bagi menyakinkan mangsa bahawa terdapat pemain yang menang dalam permainan itu, sedangkan individu terbabit adalah ahlinya.

"Sindiket ini akan dijaga oleh seorang ahli yang merupakan penyelia dan ketika ditahan kesemua sindiket sedang leka bermain dan transaksi bernilai RM1.2 juta," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut hanya beroperasi di perumahan elit sahaja, namun tidak kekal lama iaitu cuma menyewa untuk tempoh kira-kira enam bulan hingga setahun sahaja.

"Sindiket menyewa di kawasan perumahan ini dengan kadar harga RM3,600 sebulan dan jadual kerja secara shift. Dalam serbuan ini, selain penahanan ahli sindiket kita merampas peralatan judi online antaranya 77 telefon bimbit dan 13 komputer riba.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 4(B)(a), Akta Rumah Judi Terbuka dan dua individu yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah juga didakwa mengikut Akta Imigresen," ujarnya. - UTUSAN ONLINE