Serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, hasil serbuan itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 39 tahun diberkas.

"Pada mulanya, kita telah melakukan pemeriksaan dalam kenderaan jenis Nissan Navara dinaiki mereka sebelum menemukan 10 peket plastik lut sinar disyaki ketamin selain rampasan wang tunai berjumlah RM13,650.

“Hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah premis dan kondominium di sekitar Kepong,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugamoorthy memberitahu, hasil pemeriksaan kita telah menemukan 26 peket ketamin, 58 peket serbuk ekstasi dan 1, 255 biji pil ekstasi.

“Turut dirampas ialah 120 biji pil eramin 5 serta 87 batang rokok berisi ganja. Dianggarkan kesemua nilai rampasan dadah ini bernilai RM117,650," jelasnya.

Tambah Shanmugamoorthy, hasil ujian air kencing yang dijalankan juga mendapati seorang daripada suspek positif dadah selain memiliki satu rekod dadah.

"Kesemua suspek ini kini direman tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.-UTUSAN ONLINE