Dalam Op Sarang kira-kira pukul 10.30 pagi oleh sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Tengah (SPT) itu, sebanyak lima buah kenderaan curi turut ditemukan di rumah tidak bernombor yang didiami kesemua suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kenderaan terlibat adalah dua buah kereta jenis Proton Wira serta masing-masing sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, lori jenama Isuzu dan kereta jenis Toyota Corolla.

Tambahnya, kesemua kenderaan itu sebelum ini dilaporkan hilang antara Februari dan bulan lalu di sekitar daerah ini dan Bukit Mertajam dekat sini.

“Ketika serbuan itu juga, kesemua suspek ditahan dalam keadaan khayal kerana di bawah pengaruh dadah dan kita turut merampas 1.28 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM384 daripada mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang berusia antara 21 hingga 32 tahun mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau selain kesemua mereka positif dadah.

Tambahnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE