Kejadian itu berlaku Isnin lalu selepas mangsa yang merupakan pesara operator kilang itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Zahari’ kononnya dari Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, mangsa didakwa kononnya terbabit dalam aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.5 juta bersama seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai David.

Katanya, mangsa juga dikatakan mempunyai waran tangkap dan diminta mendedahkan jumlah wang simpanan di dalam akaun bank kononnya untuk kepastian sama ada wang tersebut daripada sindiket haram atau sebaliknya.

“Disebabkan takut, mangsa menuruti arahan sindiket berkenaan dengan memindahkan wang ke satu akaun bank selama empat hari berturut-turut membabitkan nilai masing-masing RM25,000; RM30,000; RM10,000 dan RM12,500 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM77,500,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, selepas memindahkan kesemua wang itu, mangsa mula berasa curiga dan menceritakan kejadian tersebut kepada rakannya sebelum dimaklumkan dia sebenarnya sudah tertipu dengan sindiket Macau Scam.

Kata beliau, mangsa kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Anbalagan terus menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai panggilan telefon individu yang mendakwa daripada pihak berkuasa atau bank.

Katanya, orang ramai sepatutnya merujuk terus kepada agensi terbabit untuk pengesahan dan tidak sesekali menuruti arahan menerusi panggilan telefon apatah lagi apabila diarahkan melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun individu lain. - UTUSAN ONLINE