Dalam serbuan tersebut pihak polis turut merampas dadah disyaki heroin seberat 55.73 gram bernilai RM14,500 daripada suspek.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika serbuan dibuat kesemua mangsa yang berusia 31 sehingga 40 tahun sedang asyik melakukan 'kerja' mereka di ruang tamu rumah tersebut.

"Siasatan mendapati bekalan itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran sekitar daerah ini serta aktif melakukan kegiatan itu sejak empat bulan lalu.

"Semua suspek yang positif dadah serta mempunyai rekod kesalahan lampau itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pada Jumaat lalu, pihaknya menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 516 biji pil kuda bernilai RM5,160 dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Mas di sini.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, kesemua pil tersebut ditemukan dalam satu beg yang disembunyikan dalam seluar dalam salah seorang suspek.

"Hasil ujian saringan terhadap suspek yang berusia 28 dan 30 tahun itu positif dadah dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua mereka dikatakan aktif mengedar dadah sejak empat bulan di kawasan Bachok dan Kota Bharu," katanya. - UTUSAN ONLINE