Kejadian ‘ala gengster’ itu menyebabkan tiga pengawal keselamatan terbabit mengalami kecederaan muka dan badan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, sekumpulan lelaki yang terdiri sepuluh orang itu datang ke pos pengawal tapak projek MRT berkenaan sebelum menyerang ketiga-tiga mangsa menggunakan kayu dan besi.

Kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mereka yang terjadi sebelum itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, susulan itu, pihaknya telah menahan tujuh lelaki berusia 21 tahun hingga 35 tahun yang terbabit pergaduhan itu.

Ujarnya, mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki tempatan berusia 21 hingga 25 tahun dan empat lelaki Bangladesh berusia 30 hingga 35 tahun.

“Suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam pergaduhan berkenaan dan penahanan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

“Polis akan memohon reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) hari ini bagi membantu siasatan,” katanya-UTUSAN ONLINE