Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, empat suspek telah berjaya ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, suspek berusia 17 tahun yang tidak lagi bersekolah itu dipercayai menghilangkan diri sebaik sahaja video kes buli berkenaan tular dalam laman sosial.

“Bagaimanapun, dengan penangkapan empat suspek terbabit sekali gus telah menyelesaikan kes, dan orang ramai termasuk netizen tidak perlu memperbesarkan lagi kes buli ini.

“Mangsa buli berkenaan masih trauma dengan kejadian berkenaan dan ini merupakan insiden baharu berlaku ke atas mangsa serta bukan kejadian buli berulang,” katanya selepas Majlis Sambutan Ulangtahun Kor Kadet Polis Sekolah Ke-49 di Padang Kawad Ibu pejabat Polis Daerah Miri hari ini.

Kejadian buli tersebut terbongkar selepas bapa mangsa berusia 13 tahun itu tampil membuat laporan polis mendakwa anaknya dipukul lima remaja di sebuah sekolah menengah di Miri pada 8 Julai lalu.

Video insiden itu turut tular dalam aplikasi WhatsApp dan laman sosial serta mendapat kecaman daripada netizen.-UTUSAN ONLINE