Iskandar Dzalman, 47, dikatakan rebah ketika sedang berkayuh akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam (HSAS) tetapi mangsa gagal diselamatkan.

Terdahulu, mangsa dilihat begitu teruja untuk menyertai ‘60 + Earth Hour’ dan dia sempat memuat naik status ke akaun Facebook sebelum maut.

“Sabtu (hari ini tau) malam Ahad...Jom solat Maghrib kat Masjid Al-Azhariah Seksyen 18. Lepas Maghrib (tayar golek 8pm tau).

“Kita kayuh bersama King Khuzairi Khalil dan #GengDuaEnam #26aintdead ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam sebab ada acara Earth Hour Ride Around Shah Alam.

“Kena tiba sana sebelum 8.30pm.Sebab kayuhan Earth Hour mula 8.30pm. Jom, Lepas event, kita balik Seksyen 18...Ngeteh (minum) kat Siam. Tak payah bawa pasport lah,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku di Persiaran Datuk Bandar Seksyen 14, Shah Alam pada pukul 9.50 malam.

“Mangsa terjatuh dari basikal di lokasi berkenaan. Bantuan kecemasan sudah diberikan pasukan perubatan sebelum mangsa dihantar ke HSAS. Doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE