Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, rokok-rokok bukan keluaran Malaysia itu dirampas di Zon Perdagangan Bebas (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dalam tempoh tersebut, yang dibawa masuk melalui mod udara dari Singapura dan Laos.

“Ini merupakan mod penyeludupan yang agak baharu kerana sebelum ini mereka (sindiket) memilih jalan laut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkurnain berkata, jalan udara kurang menjadi pilihan untuk pengangkutan rokok kerana kosnya yang mahal iaitu sekitar RM30 sekilogram, dan pihak sindiket dipercayai memilih cara lain untuk menyeludup ekoran kawalan ketat di pelabuhan terutamanya di Pelabuhan Klang.

Menghuraikan operasi di FCZ itu, Zulkurnain berkata serbuan pertama pada 6 Ogos lepas menemukan 2.94 juta batang rokok atau 147,000 paket rokok putih yang bernilai kira-kira RM294,000 dan duti atau cukai yang boleh dikenakan ke atas konsaimen itu dianggarkan bernilai RM1.97 juta.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rokok tersebut diimport dari Singapura melalui penerbangan MK646 yang diikrarkan dalam Airwaybill sebagai ‘spare parts’.

Pada 14 Ogos pula, Kastam menyita 1.3 juta batang rokok atau 65,000 paket rokok putih yang dianggarkan bernilai RM130,000 dan duti atau cukai yang boleh dikenakan ke atas konsaimen bernilai kira-kira RM871,000.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rokok tersebut diimport dari Vientiane, Laos melalui penerbangan AK553 yang diikrarkan dalam Airwaybill sebagai ‘general cargo’.

Pada 3 Sept lepas pula, sebanyak 1.3 juta batang rokok atau 65,000 paket rokok putih telah disita yang dianggarkan bernilai RM104,000 dan duti atau cukai yang boleh dikenakan ke atas konsaimen tersebut dianggarkan bernilai RM868,000.

Menurut Zulkurnain, siasatan awal mendapati rokok tersebut diimport dari Vientiane melalui penerbangan AK553 yang diikrar dalam Airwaybill sebagai general cargo.

Semalam, katanya Kastam pada sebelah pagi menyita 1.3 juta atau 65,000 paket rokok putih yang dianggarkan bernilai RM130,000 dan duti atau cukai yang boleh dikenakan ke atas konsaimen itu dianggarkan RM871,000.

Pada sebelah petangnya pula, Kastam menyita dua juta batang rokok atau 100,000 paket rokok putih yang dianggarkan bernilai RM240,000 dan duti atau cukai yang boleh dikenakan ke atas konsaimen tersebut dianggarkan RM1.35 juta.

Zulkurnain berkata kedua-dua kosaimen rokok yang dirampas semalam diimport dari Singapura melalui penerbangan MK 646 yang diikrarkan dalam Airwaybill sebagai ‘garments’ dan ‘consolidated cargo’.

“Kami masih menyiasat kaitan antara kelima-lima kes tersebut dan pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini,” katanya. - BERNAMA