Ops Sarang itu digerakkan sekumpulan anggota polis dari ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini bermula pagi ini hingga pukul 6 petang tadi.

Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun itu merupakan penganggur dan bekerja sendiri.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas bahan yang disyaki dadah iaitu heroin dan syabu masing-masing seberat 2.4 gram dan 0.2 gram.

Selain itu, tambah beliau, turut dirampas daripada 14 penagih yang ditahan berkenaan adalah sebanyak 250 mililiter cecair dipercayai air ketum.

“Semua rampasan dengan nilai kira-kira RM130 ini adalah untuk kegunaan sendiri dan hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis MOP dan methaphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan 

Tambahnya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2); 30(3); 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan tegas serta menjalankan aktiviti narkotik berterusan di daerah ini bagi mengekang gejala tidak sihat berkenaan.

“Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran serta penagihan dadah dan kes jenayah lain di balai polis terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE