Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, kenderaan suspek berusia 27 tahun dan mangsa terlibat dalam kemalangan kecil selepas suspek menghentikan kereta secara mengejut.

"Mangsa iaitu wanita yang berusia 20 tahun tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian belakang kereta suspek.

"Akibat perlanggaran itu, suspek turun dari kenderaan dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menumbuk cermin sisi kereta mangsa hingga patah dan kemudian membalingnya ke arah kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein memaklumkan, mangsa sempat merakam tindakan ganas suspek menggunakan telefon bimbit sebelum meneruskan perjalanan kerana bimbangkan keselamatannya.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi pada pukul 4.33 petang hari kejadian," katanya.

Ujar Mohamed Mokhsein, suspek kemudian ditahan selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada pukul 3.30 petang semalam bsgi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. - UTUSAN ONLINE