Isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Samirah Muzaffar.

Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Datuk Nordin Haji Muhamad berkata, semakan mendapati tahanan tersebut tidak diletakkan di bilik gelap sebaliknya ditempatkan berseorangan di bilik asingan bersebelahan bilik pegawai bertugas Penjara Wanita Kajang.

Ujarnya, ini berasaskan kategori seseorang banduan serta keperluan kawalan selaras dengan kuasa mengkategori banduan di bawah Peraturan Penjara 2000.

“Suspek berkenaan semasa ditemui juga telah mengakui bahawa dia tidak ditempatkan di bilik gelap manakala pemeriksaan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Jabatan Penjara mendapati tiada kerosakan pada lampu di biliknya.

“Selain itu, berhubung bekalan buku nota dan alat tulis, Samirah tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peralatan tersebut dan dia turut mengakui keliru berhubung tatacara penggunaan peralatan untuk menulis di mana peralatan itu perlu digunakan dengan seliaan oleh pegawai penjara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nordin memberitahu, mana-mana penjara di negara ini tidak mempunyai bilik gelap sebaliknya semua bilik atau sel mempunyai tingkap berpalang besi bagi membolehkan cahaya dan udara masuk ke dalam bilik.

Jelasnya, bilik dan sel berkenaan adalah sesuai dari segi saiz lantai, pengudaraan dan pencahayaan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.

“Ini termasuklah pemeriksaan dan pengesahan ianya sesuai digunakan oleh Pegawai Perubatan sebelum bilik atau sel berkenaan di sesebuah penjara boleh digunakan untuk penempatan banduan.

“Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan Penjara 2000 serta ketetapan antarabangsa seperti UNSMR (Mandela Rules),” katanya.

Sehubungan itu, Nordin berharap kenyataan ini dapat menjelaskan bahawa demi kepentingan keselamatan banduan yang ditahan dipenjara, pengasingan penempatan dilakukan berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah ditetapkan dan harus mengikut prosedur.

“Begitu juga kemudahan yang disediakan tertakluk kepada peraturan serta prosedur yang ditetapkan dan jabatan ini sentiasa mengambil berat segala keperluan banduan dan dalam masa yang sama menggalakkan banduan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE