Farhash sebelum ini telah diminta untuk segera tampil bertemu polis bagi membantu siasatan berkaitan kejadian rusuhan dan mencederakan seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun dengan topi keledar, pisau dan kerusi pada 31 Ogos lalu.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan 12 lelaki ketika berada di luar kompleks pusat sukan tersebut.

Bagaimanapun, polis telah menahan lima suspek berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun yang bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai untuk membantu siasatan kes.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, empat daripada suspek telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

“Seorang lagi suspek telah diserah ke Ibu pejabat Polis Daerah Cheras kerana berada dalam senarai dikehendaki berkaitan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pada 5 September lalu, pengadu kes telah menarik semula laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Tambahnya, kes akan dirujuk kepada pihak Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya. - UTUSAN ONLINE