Mangsa berusia 27 tahun itu dikatakan berkenalan dengan lelaki berkenaan yang menggunakan nama `James Mason Wung’ hujung bulan lalu sebelum sering berhubung menggunakan WhatApps menggunakan nombor +19143036942 yang didaftarkan di luar negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, hanya selepas beberapa hari berkenalan, suspek memberitahu kononnya menghantar hadiah ‘kejutan’ kepada mangsa sebagai salam perkenalan.

Kata beliau, mangsa pada Rabu lalu kemudiannya dihubungi seorang wanita daripada Syarikat Naco Express Delivery Company Servies yang memaklumkan barangan berkenaan sudah tiba di Kuala Lumpur.

“Wanita berkenaan memaklumkan mangsa perlu membayar caj sebanyak RM3,000 untuk mengambil barang itu kerana terlebih berat.

“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan wang berkenaan ke akaun Hong Leong bank yang diberikan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, wanita berkenaan sekali lagi menghubungi mangsa memaklumkan terdapat wang di dalam bungkusan dan perlu membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM2,000 untuk mendapatkannya.

Katanya, mangsa yang tidak membuat semakan terus memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan sama sebelum suspek sekali lagi memintanya membuat bayaran berjumlah RM3,000 kononnya untuk menutup mulut pekerja kerana kiriman berkenaan mengandungi wang yang sangat banyak.

“Mangsa kemudian memasukkan wang ke dalam dua akaun berbeza sebanyak 11 transaksi sehingga berjumlah RM41,500 atas pelbagai alasan, namun menyedari ditipu setelah wang pinjaman daripada kedua ibu bapa dan simpanan Tabung Haji miliknya habis.

“Malah, mangsa juga gagal menghubungi kenalan media sosialnya, James Mason Wung itu selepas membuat pemindahan wang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya dalam usaha mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE