Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.09 petang melibatkan mangsa yang berusia antara 48 tahun hingga 52 tahun.

“Mangsa telah ditawarkan untuk membuat tukaran wang dengan nilai AS$1 kepada RM6 sebelum berjumpa dengan suspek wanita telah yang menaiki kereta jenis Nissan Teana dan mengajak mangsa ke pejabatnya untuk urusan pertukaran wang.

“Ketika tiba di tepi Jalan 9, Taman Ampang Jaya, suspek telah memberhentikan kenderaan sebelum tiga lelaki warga Afrika dengan menaiki kereta jenis Nissan Sentra pergi ke arah mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Azmi, mangsa kemudian telah ditolak dan ditumbuk oleh suspek sebelum melarikan beg mangsa yang mengandungi wang tunai AS$101,500 dan dokumen penting.

Jelasnya, kesemua suspek telah meninggalkan kereta Nissan Teana yang dipercayai kereta klon dan melarikan diri dengan kereta Nissan Sentra yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Tambahnya, usaha untuk mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan tanpa senjata. - UTUSAN ONLINE