Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa pada mulanya mahu membantu anak saudaranya berusia 28 tahun yang mahu membuat pinjaman sebanyak RM15,000 yang ditawarkan ejen menerusi iklan BMS Loan di dalam internet.

Ketika berurusan menerusi WhatApps, suspek meminta mangsa membuat beberapa bayaran kononnya untuk memproses permohonan pinjaman tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd. Noor, bayaran itu kononnya untuk membuka akaun baharu, bayaran ansuran enam bulan, bayaran saman dan bayaran insurans sebagai wang proses permohonan pinjaman.

Kata beliau, mangsa kemudiannya telah membuat sebanyak 10 transaksi pindahan wang secara online berjumlah RM13,900 ke dalam satu akaun bank ketika berada di rumahnya di sini.

“Bagaimanapun, suspek masih meminta suspek membuat beberapa tambahan bayaran lagi menyebabkan mangsa berasa curiga.

“Mangsa akhirnya tidak setuju dan berasa tertipu dengan ejen tersebut dan meminta wangnya dikembalikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kata beliau, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dengan modus operandi tersebut kerana hakikatnya peminjam tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk proses pinjaman.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang pinjaman menerusi iklan yang disiarkan di dalam internet bagi mengelakkan terpedaya dengan sindiket penipuan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE