Komander Pasukan Polis Marin, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan itu dilakukan dalam dua serbuan dilokasi berbeza iaitu kedai runcit di Kampung Sitiawan di sini.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, pihaknya menemukan sejumlah kotak rokok pelbagai jenis yang tersimpan dalam stor kedai serta dalam ruang laci kaunter bayaran di kedai tersebut.

"Siasatan awal juga mendapati rokok yang diseludup dari negara jiran itu dipasarkan di sekitar Sitiawan.

"Kita juga menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 37 dan 59 tahun yang terlibat dalam penjualan rokok itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rosman, suspek yang ditahan bersama barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin dan kes diserah kepada pegawai Penyiasat Jabatan Kastam Manjung untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Rosman berkata, pihaknya akan memerangi jenayah penyeludupan terutama pengedaran atau penjualan rokok yang tidak sah.

"Dengan penangkapan serta rampasan ke atas kes ini juga diharap dapat memberi impak positif dengan memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti penyeludupan, pengedaran serta penjualan rokok yang tidak sah pada masa akan datang," katanya. - UTUSAN ONLINE