Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berumur 40 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Wanita ini memberitahu bahawa mangsa telah terlibat dengan penggubahan wang haram yang melibatkan aliran pengeluaran wang yang tinggi.

“Kemudian panggilan seterusnya disambungkan kepada beberapa pegawai polis kononnya dari Bukit Aman yang memaklumkan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau akibat takut ditangkap, mangsa telah membuat dua transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM 4,300 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Katanya wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan suspek.

“Mangsa hanya sedar ditipu setelah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan diberitahu pemanggil tersebut adalah scammer,” katanya.

Jelas Noorzainy, mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.- UTUSAN ONLINE