Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 57 tahun itu telah melihat satu iklan menerusi laman Facebook yang menawarkan pelaburan wang RM500 dengan pulangan wang sebanyak RM6,300 dalam tempoh tiga hari.

“Akibat percayakan tawaran pulangan tersebut tanpa mengetahui sumber pelaburan, mangsa telah membuat lebih kurang 22 kali transaksi di sekitar Bertam Indah dan Tasek Gelugor.

”Mangsa telah memindahkan kesemua wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya ke akaun suspek kerana percaya akan menerima wang berganda daripada jumlah wang yang dilabur,”katanya di sini hari ini.

Norzainy berkata, mangsa tidak pernah berjumpa dengan individu penganjur dan tidak pernah menandatangani sebarang dokumen perjanjian pelaburan.

“Dia hanya mempercayai individu yang hanya dikenali menerusi Facebook.

“Mangsa kemudiannya sedar ditipu apabila gagal menerima sebarang wang pulangan selepas lebih satu minggu membuat pelaburan,” katanya.

Jelas Noorzainy, mangsa yakin dirinya sudah diperangkap oleh sindiket penipuan lalu membuat laporan polis semalam untuk tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - UTUSAN ONLINE